telekung project
Pagi tadi ada terbaca pasal telekung project dalam Utusan Malaysia .. Mulia sungguh hati hamba Allah berkenaan..hati terus bertanya diri sendiri apa pula sumbangan yang telah saya lakukan selama ini.....masyaallah..
Marilah sama-sama kita renungi..
Moga-moga dipermudahkan untuk kita jua melaksanakan amalan baik sebegini...
Marilah sama-sama kita renungi..
Segalanya bermula apabila anak sulungnya, Sofea Najihah Zulhelmi (ketika itu berusia tujuh tahun) dilatih untuk bersolat.Seperti kebanyakan wanita lain, saya juga merungut apabila telekung untuk bersolat yang disediakan sebagai wakaf di surau-surau di pusat membeli-belah dalam keadaan kotor dan berbau masam.
Mulalah saya mengajak anak untuk bersolat di tempat lain sedangkan waktu solat sudah lama masuk.
Sofea pula mempersoalkan tentang hukum melewatkan sembahyang. Malah dia juga bertanyakan kepada saya kenapa telekung di surau kotor sedangkan agama Islam itu mengajar tentang kebersihan," kata Norazila Abdul Aziz, 33, pengasas The Telekung Project.
Soalan bertalu-talu daripada si anak membuatkan dia akhirnya berfikir sejenak.
Semenjak itu, Norazila mengubah persepsi dirinya daripada sering merungut kenapa tidak ada telekung yang bersih kepada terus membawa pulang telekung yang kotor untuk di basuh di rumahnya. "Saya bermula dengan lima telekung. Saya bawa balik dan basuh. Dalam pada itu saya ganti telekung di surau itu dengan telekung wakaf baru supaya wanita yang ingin bersolat boleh menggunakannya. Aktiviti tersebut menjadi rutin saya dan anak-anak, iaitu Sofea dan Nurhana setiap hari selepas balik sekolah,
"Kami bermula dengan telekung di surau pusat membeli-belah di sekitar ibu kota, surau di Petronas dan juga di wakaf perhentian rehat," katanya.
Dari situ Norazila mendapat idea untuk menjadikan ia satu projek yang boleh dilakukan oleh wanita lain juga. Baginya, perkara yang baik mestilah disebarkan supaya ia menjadi galakan kepada orang lain untuk membuat kebaikan.Saya pernah dengar satu ceramah oleh seorang ustaz tentang niat kita menyebarkan kebaikan supaya lebih ramai orang dapat buat baik. Syaitan juga tidak suka bila ramai anak Adam berbuat kebaikan. Pada saya tidak timbul isu riak kerana apabila saya melakukan perkara ini secara senyap, simpan seorang diri dan akhirnya barulah perasaan riak itu timbul kerana 'hanya aku seorang saja yang baik kerana basuh telekung'.
Lalu saya mewujudkan akaun di laman sosial Facebook dan menamakannya sebagai The Telekung Project. Harapan saya agar lebih ramai wanita boleh melakukan perkara ini di kawasan mereka," ujarnya yang juga merupakan seorang kaunselor sekolah. Tambah Norazila, sebaik sahaja The Telekung Project dimulakan di Facebook, seorang wanita dari Kluang, Johor sudi mendermakan 10 helai telekung untuk diwakafkan. Malah wanita tersebut yang tidak mahu dikenali menjadi penyumbang kepada setiap aktiviti yang dilakukan oleh The Telekung Project. Sejak membuka akaun ini saya bertemu dengan ramai wanita yang mahu membuat kebajikan. Walaupun menyumbang RM1, itu sudah cukup bernilai. Malah dapat saya rasakan segalanya dipermudahkan Allah. Apabila saya menginginkan tajaan kedai dobi, ada hamba Allah yang memiliki kedai dobi sanggup mengambil telekung-telekung tersebut. "Bukan itu sahaja, dia juga telah mengajar saya sistem tagging untuk mengenal pasti mana satu telekung wakaf dari The Telekung Project dan yang bukan," jelasnya yang memberitahu jumlah telekung yang dibawa basuh untuk satu pusingan mencecah ke angka 168 pasang.
Sejak melancarkan The Telekung Project, Norazila dapat mengumpulkan komunitinya sendiri. Tiada borang yang perlu diisi dan sesiapa saja boleh menyertainya.Malah menurut Norazila, komuniti itu juga mempunyai ahli sejauh di Liverpool, United Kingdom dan Doha, Qatar. Penderma tersebut memasukkan wang ke dalam akaun projek ini secaraonline. Ada pelajar kita di Kuwait dan Dubai menghantar duit dan meminta saya membeli telekung wakaf. Saya melaksanakan hasrat mereka dan mengambil gambar untuk dimuat naik ke dalam Facebook supaya mereka dapat lihat, itulah sumbangan mereka. Dek kerana sambutan yang menggalakkan ini, saya telah mengadakan majlis perjumpaan ahli The Telekung Project dalam satu aktiviti yang diberi nama We Care We Share.
Aktiviti pada 31 Disember tahun lalu itu turut disertai 50 anak-anak Asnaf dan kami juga bertuah kerana Ustaz Don Daniyal sudi memberikan ceramah. Akan datang kami akan mengadakan kerjasama dengan Seri's Spa dalam projek yang dinamakan Wash & About. Bagi projek ini kami telah mengenal pasti 30 anak yatim lingkungan usia lapan hingga 15 tahun merasai pengalaman rawatan mencuci rambut, merawat kuku kaki dan tangan di spa. Dalam masa yang sama kami juga mahu memberikan ilmu kebersihan yang dianjurkan Rasulullah SAW kepada anak-anak ini. Satu hari nanti kita semua akan pergi menghadap Ilahi dan saya berharap agar apa yang saya lakukan ini diwarisi dan dikenang anak-anak. Mereka juga adalah 'guru' saya, semua ini tidak terjadi jika Sofea tidak mempersoalkan pada saya tentang kebersihan dan hukum agama," ujar wanita tinggi lampai itu mengakhiri bicara.
Sumber: Utusan Malaysia, 28 Februari 2012
Moga-moga dipermudahkan untuk kita jua melaksanakan amalan baik sebegini...
Comments