Adab Menziarahi Jenazah..

Kebelakangan ini, saya agak kerap menziarahi jenazah. Seorang demi seorang pergi tak kembali..meninggalkan keluarga tersayang..benarlah..setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Namun, menziarahi jenazah bukanlah sesuatu yang kita lakukan sehari-hari. Oleh itu, adalah normal jika kadang-kadang saya  masih keliru apa yang perlu/tidak perlu dilakukan. Sebenarnya, dalam ajaran Islam, terdapat adab-adab untuk setiap apa yang kita kerjakan, termasuklah adab-adab menziarahi jenazah.

Adab Menziarahi Jenazah (daripada pembacaan, pengamatan dan pengalaman):
  • Apabila kita menerima berita tentang kematian seseorang Muslim, sama ada yang kita kenali mahupun tidak kita kenali, adalah sunat kita menyebut, “innaalillaahi wa innaa ilaihi ro ji'uun”, seperti firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 156)
  • Mengelakkan bergurau senda dengan rakan-rakan/tetamu yang hadir semasa berziarah dan tidak digalakkan meninggikan suara ketika berbual-bual. Ini kerana ia mungkin akan menyinggung perasaan keluarga tersebut. Hormatilah ahli keluarga jenazah yang bersedih. Mereka tidak mungkin akan faham kenapa orang lain masih boleh tersenyum dan ketawa apabila mereka sedang berduka. Kita haruslah mengucapkan takziah kepada keluarga tersebut perkataan, “Semoga Allah menambahkan ganjaran pahala kamu, dan memperbaiki kedudukan kamu serta mengampunkan dosa ahli keluarga kamu yang baru meninggal.”
  • Disunatkan bagi orang yang menziarahi kematian agar membaca surah Yasin seperti yang disebutkan di dalam hadis yang bermaksud, “Bacalah ke atas mereka yang sedang menghadapi kematian dengan membaca surah Yasin.” (Hadis riwayat Abu Daud).
  • Berdoa supaya jenazah mendapat keampunan Allah SWT dengan mengucapkanAllahummaghfirlahuwarhamhu” ertinya, “Ya Allah, ampunkanlah dosanya dan limpahkan rahmat-Mu ke atasnya.”
  • Memberi pertolongan kepada keluarga jenazah dalam urusan pengkebumian atau menyediakan makanan untuk keluarga si mati. Digalakkan agar menghulurkan bantuan yang berbentuk wang atau makanan kepada keluarga yang ditimpa kematian khususnya bagi keluarga yang miskin.
  • Makruh bagi orang yang menziarahi rumah yang ada kematian, makan/minum di rumah tersebut kerana ianya menyibukkan lagi ahli keluarga tersebut. Melainkan jika makanan atau minuman tersebut disediakan oleh jiran tetangga bagi keluarga yang ditimpa kematian.
  • Melahirkan perasaan dukacita kepada waris di atas kembalinya ke rahmatullah.
  • Mengucapkan kata-kata yang boleh meringankan perasaan dukacita keluarga jenazah.
  • Mengingatkan keluarga jenazah dengan kesabaran di atas ujian Allah.
  • Tidak menceritakan aib jenazah.
  • Disunatkan membanyakkan membaca al-Quran dan berdoa sebelum jenazah dikebumikan.
  • Segerakan pengurusan jenazah.
  • Sembahyangkan jenazah dan mengiringinya ke kubur.
Kebaikan/hikmah Menziarahi Jenazah:
  • Berpeluang menzahirkan perasaan simpati kepada keluarga jenazah,
  • Mengurangkan tekanan emosi keluarga jenazah yang kehilangan ahli keluarganya,
  • Dapat mengeratkan silaturrahim dengan keluarga jenazah,
  • Menunaikan fardu kifayah iaitu memberikan hak sebagai seorang muslim keatas muslim yang lain,
  • Melahirkan rasa keinsafan dalam diri kita tentang kematian itu pasti menjemput kita suatu hari nanti,
  • Mengingati bahawa kematian adalah sebahagian daripada qadha allah yang wajib diterima oleh semua makhluknya.
  • Bermuhasabah diri tentang ibadat yang telah kita lakukan selama ini. Kita akan terfikir, adakah ibadah kita selama ini mencukupi untuk di buat bekalan di akhirat nanti…
 “Ya Allah jadikanlah akhir kehidupan kami dengan kebaikan dan rahmat-Mu dan jangan jadikan akhir hidup kami dengan keburukan dan kemurkaan-Mu”. Amin

Comments

Popular posts from this blog

tips nak buat dapur ..

Taman Tasik Cyberjaya..